4 Kelebihan Tudung Sarung Yang Harus Anda Tahu !

Tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan“ itulah peribahasa yang amat sinonim untuk dikaitkan dengan pengusaha industri fesyen yang semakin berkembang di negara kita. Lahirnya lambakan peniaga tudung juga tidak lain tidak bukan atas faktor permintaan tudung yang tinggi di kalangan pembeli yang sentiasa menagih rekaan yang terbaru dari pengusaha tudung. Saya yakin purata setiap wanita memiliki lebih dari 5 jenis tudung di dalam almari mereka – tudung bawal, shawl, tudung satin, tudung labuh dan tudung sarung. Tudung sarung dahulunya hanya dipakai pengguna berusia. Kini tidak lagi, tudung sarung mula menjadi kegilaan ramai dan mendapat tempat di hati kalangan para remaja yang lebih mementingkan kecepatan masa dan fesyen yang lebih ringkas. Berikut saya sertakan 4 KELEBIHAN TUDUNG SARUNG YANG HARUS ANDA TAHU !

Mudah, Ringkas dan Menjimatkan Masa.

Inilah antara sebab utama mengapa anak muda memilih tudung sarung. Tudung sarung amat mudah digayakan tanpa memerlukan anak tudung(inner). Hanya perlu sarung menutupi keseluruhan kepala, betulkan kain di bahagian bahu dan tegakkan sikit di bahagian awning tudung dan siap! Pemakaian tudung sarung yang menjimatkan masa amat diperlukan anak dara terutamanya ketika ingin keluar dari rumah untuk menjemur baju lagi-lagi ketika nak mengambil barang dari abang posmen. Tak perlu berlilit pin bagai, hanya sarung dah mencukupi menutup aurat.

Penjagaan Tudung Sarung Lebih Mudah.

Umum mengetahui bahawa penjagaan tudung sarung adalah lebih mudah berbanding lain-lain jenis tudung. Hal ini kerana kebanyakan tudung sarung menggunakan kain jenis moss crepe – material yang tidak mudah kedut dan tak perlu digosok. Setelah dipakai anda boleh lipat 3 atau gulung sahaja untuk disimpan. Walau bagaimana cara simpanan pun ianya akan kembali kepada bentuk asal. Awning dicipta sedikit tebal dan keras untuk mengekalkan bentuk tudung. Anda hanya perlu kelepet awning sedikit ke atas dan siap. Dari segi penjagaan pula anda hanya perlu rendam air sabun, genyeh dengan tangan dan bilas. Mudah bukan?

Patuh Syariat dan Selesa.

Tudung sarung kini dicipta dalam pelbagai bentuk saiz mengikut permintaan pembeli. Pelbagai variasi saiz tudung bermula dari saiz M, L, XL, XXL dan 3XL. Pembeli yang berfizikal tinggi akan memilih tudung yang bersaiz labuh hingga menutupi sebahagian dada. Kebanyakan tudung sarung yang terdapat di pasaran biasa adalah labuh dan patuh syariah. Maka anda tidak perlu risau tentang tuntutan agama menutup aurat dengan sempurna. Tambahan lagi tudung sarung yang labuh memudahkan para wanita untuk menunaikan solat. Dengar sahaja seruan azan boleh terus ke surau tanpa perlu membawa telekung. Cukup tudung sarung yang labuh, baju yang tidak jarang dan bersih. Saya yakin anda pasti selesa bersolat dengan tudung sendiri berbanding menggunakan telekung yang disediakan di surau awam.

Pilihan Warna, Rekaan dan Kemas

Last but not least, tudung sarung kini lebih banyak Pilihan Warna, Rekaan dan Kemas. Permintaan tinggi dari semua peringkat umur memaksa para pengamal fesyen mengerah idea untuk menghasilkan pelbagai rekaan bagi memenuhi cita rasa pembeli. Tidak terhad kepada rekaan dan warna kosong sahaja tudung sarung kini tampak lebih moden berbanding sebelum ini. Maka istilah ‘tudung makcik-makcik’ secara perlahan-lahan kian hilang ditelan zaman. Pelbagai variasi warna memikat pembeli dari golongan pelajar untuk dijadikan ke kelas atau aktiviti sukan. Tambahan lagi rekaan yang ringkas dan tidak serabut pastinya menjadi pilihan terbaik pagi pengguna yang mementingkan konsep minimalist dalam berpakaian.

Secara keseluruhannya saya yakin artikel 4 Kelebihan Tudung Sarung ini pastinya mengubah pandangan umum terhadap tudung sarung. Pandangan yang dahulunya serong menjadi lurus, dari benci menjadi suka, dari pilihan terakhir sekarang menjadi pilihan pertama. Walau apa jua yang kita hiaskan di badan kita, sentiasalah utamakan tuntutan agama. Jangan disebabkan trend itu cantik kita ikut membuta-tuli. Let’s make this tudung sarung GREAT AGAIN !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *